Thursday 14 July 2011

Renungan Tauhid

Assalamulaikum warohmatullah....

Puji-pujian bagi Allah, Tuhan yang menjaga sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat dan keluarganya, tabiin, tabi' tabiin dan para solihin.....

Ketahuilah sesungguhnya memuji Allah dalam sesuatu percakapan, tulisan atau apa sahaja adalah perkara sunat yang sangat dituntut Islam. Memuji Allah adalah permulaan yang hakiki, atau yang diistilahkan sebagai "Ibtidaak Haqiqi". Manakala berselawat ke atas nabi kita pula adalah permulaan yang kedua atau disebut sebagai "Ibtidaak Idhoofi". Ini ada disebut oleh Imam Zainal Abidin dalam kitabnya Aqiidatun Naajiin Fii Ilmi Usulid Din, sebuah kitab tauhid yang dicedok (naqol) dari kitab Ummu Al-Baroohin karangan Imam Syeikh Sanusi yang mana ianya banyak dipelajari di pondok-pondok di Malaysia, terutama di Kelantan. Kedua-dua ibtidaak ini mesti selalu diambil perhatian oleh ummat Islam dan diamalkan dalam semua aspek kehidupan dan bukan semasa hendak berceramah agama sahaja.

Sebagai contoh, jika seorang guru ingin mula mengajar, biasakanlah dengan memuji Allah dan berselawat ke atas baginda Rasulullah selepas membaca bismillah, sekurang-kurangnya dengan ucapan "Alhamdulillah, Wassolaatu wassalaamu ala Rasuulillah". Sudah tentu kita maklum akan fadhilat ketiga-tiga ucapan itu.

Jika kita sentiasa ingat akan Allah, Allah lebih - lebih lagi ingat akan kita. Malah, ingatanNya lebih baik dari segala-galanya di atas muka bumi ini. Hadis Nabi yang bermaksud: Allah berfirman dalam hadis Qudsi: "Barangsiapa yang ingat akan Aku dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diriKu. Barangsiapa yang menyebut namaKu dalam suatu majlis, Aku akan menyebutnya dalam suatu majlis yang lebih baik dari majlisnya".

Lihatlah betapa pemurahnya Allah Taala kepada kita. Jangan kita hanya tahu belajar tetapi tidak mengamalkannya. Imam Syeikh Abul Qodir Jailani pernah menyebut dalam kitabnya Alfathul Baari" Orang jahil celaka satu kali manakala orang aliim celaka tujuh kali".

No comments:

Post a Comment