Thursday 14 July 2011

Renungan Tassawwuf

Alhamdulillah, wassolaatu wassalaamu alaa rasuulillah, wa alaa aalihi wasohbihi waman walaah...

Berkatalah Syeikh Muhammad Soleh dalam kitabnya bahawa ilmu yang wajib dituntut oleh setiap muslim itu tiga perkara: Ilmu Tauhid iaitu ilmu mengenal Allah, Ilmu Feqah iaitu ilmu menyembah Allah, dan Ilmu Tasaawuf iaitu ilmu mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun begitu, yang menjadi fardhu ain pada ketiga-tiga ilmu ini ada had-hadnya, kerana ilmu tersebut amat luas dan mendalam.

Pada Ilmu Tauhid, wajib kita menuntut akan dia barang yang berkaitan dengan sifat yang wajib, mustahil dan harus pada hak Allah taala. Wajib juga kita menuntut perkara-perkara yang berkaitan dengan sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi hak rasul-rasulNya. Selain itu wajib juga kita mempelajari perkara-perkara samiyyaat atau ghaibiyyaat yang dikhabarkan oleh Baginda Rasulullah dalam sunnahnya, seperti syurga, neraka, timbangan, mahsyar, kewujudan jin dan malaikat, dan hal-hal yang berkaitan sekira-kira ianya menjadi dalil akan kewujudan dan kekuasaan Allah dan menambahkan keyakinan seseorang pada yang demikian itu. wajib belajar beserta dalil-dali ijmali, yakni dalil umum yang bertepatan dengan aqal yang waras. Manakala mengetahui dalil-dalil syara' atau tafsilin pada sekalian itu adalah fardhu kifayah jua.

Pada ilmu Feqah pula, fardhu ain ke atas kita mempelajari segala perkara yang bersabit dengan amalan wajib seperti solat, puasa, zakat, haji dan segala yang berkaitan dengannya, dari segi syaratnya, rukunnya, yang membatalkannya. Berbeza dengan haji, wajib kita belajar apabila telah sampai kewajipan kita menunaikannya. Sekiranya masih belum mampu, jadi mempelajarinya adalah fardhu kifayah. Itulah yang disebut oleh Imam Ghazali dalam kitabnya Minhaajul Aabidin dan Fathul Qariib.

Pada Ilmu Tasaawwuf pula, wajib kita menuntut barang yang bersabit dengan perkara-perkara yang mengesahkan amalan kita, kerana terbatalnya amalan kita dek kerana wujudnya perkara-perkara yang tidak baik di dalam hati sanubari kita. Sebagai contoh, jika kita solat tanpa khusyuk, amalan kita tidak diterima meskipun sah pada hukum feqahnya. Begitu juga jika kita menderma dengan perasaan bangga diri atau riyak, juga tidak diterima. secara kesimpulannya, fardhu ain ke atas kita belajar perkara yang bersabit dengan hati, seperti sifat-sifat mahmudah, sifat-sifat mazmumah, kewajipan menjaga anggota badan daripada melakukan maksiat dan seumpamanya.

Menurut Imam Syeikh Abdussomad dalam kitabnya, cukup dan lepas fardhu ain kita sekiranya kita belajar pada ilmu tauhid barang yang terdapat di dalam kitab Arbaiin Fii Usuluddin karangan Imam Ghazali.Manakala ilmu feqah pula, Fathul Qarib. manakala Ilmu Tasawwuf pula Minhaajul Aabidin. Ketiga-tiga kitab adalah karangan Imam Ghazali Rahimahullah yang mana sekiranya kita khatam ketiga-tiga kitab ini, maka lepaslah tuntutan belajar fardhu ain kita....cuma tinbggal lagi beramal padanya.

Wallaahua'lam....

Renungan Tauhid

Assalamulaikum warohmatullah....

Puji-pujian bagi Allah, Tuhan yang menjaga sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat dan keluarganya, tabiin, tabi' tabiin dan para solihin.....

Ketahuilah sesungguhnya memuji Allah dalam sesuatu percakapan, tulisan atau apa sahaja adalah perkara sunat yang sangat dituntut Islam. Memuji Allah adalah permulaan yang hakiki, atau yang diistilahkan sebagai "Ibtidaak Haqiqi". Manakala berselawat ke atas nabi kita pula adalah permulaan yang kedua atau disebut sebagai "Ibtidaak Idhoofi". Ini ada disebut oleh Imam Zainal Abidin dalam kitabnya Aqiidatun Naajiin Fii Ilmi Usulid Din, sebuah kitab tauhid yang dicedok (naqol) dari kitab Ummu Al-Baroohin karangan Imam Syeikh Sanusi yang mana ianya banyak dipelajari di pondok-pondok di Malaysia, terutama di Kelantan. Kedua-dua ibtidaak ini mesti selalu diambil perhatian oleh ummat Islam dan diamalkan dalam semua aspek kehidupan dan bukan semasa hendak berceramah agama sahaja.

Sebagai contoh, jika seorang guru ingin mula mengajar, biasakanlah dengan memuji Allah dan berselawat ke atas baginda Rasulullah selepas membaca bismillah, sekurang-kurangnya dengan ucapan "Alhamdulillah, Wassolaatu wassalaamu ala Rasuulillah". Sudah tentu kita maklum akan fadhilat ketiga-tiga ucapan itu.

Jika kita sentiasa ingat akan Allah, Allah lebih - lebih lagi ingat akan kita. Malah, ingatanNya lebih baik dari segala-galanya di atas muka bumi ini. Hadis Nabi yang bermaksud: Allah berfirman dalam hadis Qudsi: "Barangsiapa yang ingat akan Aku dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diriKu. Barangsiapa yang menyebut namaKu dalam suatu majlis, Aku akan menyebutnya dalam suatu majlis yang lebih baik dari majlisnya".

Lihatlah betapa pemurahnya Allah Taala kepada kita. Jangan kita hanya tahu belajar tetapi tidak mengamalkannya. Imam Syeikh Abul Qodir Jailani pernah menyebut dalam kitabnya Alfathul Baari" Orang jahil celaka satu kali manakala orang aliim celaka tujuh kali".

Mencegah Lebih baik daripada Berubat

Kita selalu mendengar ucapan ini, tetapi amat susah untuk dilaksanakan. Itu sudah menjadi lumrah kita sebagai manusia. Penyakit ada dua macam, pertama : Penyakit Zahir iatu penyakit yang menyerang jasad manusia luar dan dalam. Kedua: Penyakit Batin iaitu penyakit yang menyerang hati dan roh manusia. Kedua-dua penyakit ini ada disebut oleh Rasulullah SAW bukan sekali, malah berkali-kali. Baginda juga mewariskan pelbagai zikir dan amalan yang mesti dilakukan oleh orang mukmin untuk mengelak daripada penyakit dang mengubatinya. Cuma kita tidak mahu mengkaji dan mempelajari segala yang telah disampaikan oleh baginda. Antaranya adalah zikir-zikir yang terdapat dalam kitab-kitab karangan ulamak muktabar terdahulu seperti kitan Al-Azkaar karangan Imam Nawawi, Kitab Amalul Yaumi wallailah karangan Imam Ibnus Sinni dan banyak lagi. Marilah kita sama-sama mempelalajari dan sekaligus mengamalkan zikir-zikir amalan Rasulullah yang mustajaab ini melalui hadir ke majlis-majlis ilmu di masjid atau surau berdekatan atau seumpama dengannya.

Berubat Megikut Sunnah Satu Kewajipan Ummat Islam

Assalamulaikum warohmatullahi wabarokaatuh... Alhamdulillah, puji-pujian bagi Allah Taala, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah S.A.W, penutup segala nabi, sahabat-sahabatnya, keluarganya dan zuriatnya yang solihin. Doa dipanjatkan ke atas guru-guru yang telah mengajarkan segala ilmu dunia dan akhirat, ibu dan ayahku, pendahwah-pendakwah dan  muslimin-muslimat yang dirahmati Allah....Amiin ya rabbal Aalamin

Wahai saudara seislamku, ketahuilah bahawa segala perkara yang berlaku di dunia ini adalah dengan kehendak Allah Taala dan izinNya.Kesihatan,kekayaan,kecantikan,ketenangan,kemakmuran,kebahagian adalah dariNya jua. Begitu juga dengan kesakitan,kesempitan,kesengsaraan,kefakiran.Semuanya dari Allah dan ciptaan Allah,tetapi segala yang baik diciptakan Allah untuk manusia mendapatkannya,manakala yang jahat pula Allah menyuruh manusia menjauhinya. Sebagai contoh, Allah menjadikan syurga untuk manusia mendapatkannya,pada masa yang sama Dia juga menjadikan neraka dan menyuruh manusia mengelakkannya. Syeikh Muhammad Soleh,salah seorang alim dan ahli terkenal dalam ilmu tasawwuf telah berkata di dalam kitabnya Kashful Asrar bahawa segala-galanya adalah ciptaan Allah, sama ada yang baik mahu pun yang jahat, termasuklah tingkah laku manusia. Allah menjadikan Taat dan maksiat untuk manusia memilih dengan bekalan tabii yakni akal dan bekalan ilahi yakni wahyu. Meskipun begitu, yang baik wajib disandarkan kepada Allah walaupun ada usaha manusia padanya manakala yang jahat wajib disandarkan kepada manusia meskipun ianya berlaku dengan kehendak Allah.

Berbalik kepada soal kesihatan, Allah menjadikan penyakit sebagai satu dugaan kepada hambanya. Dia juga menjadikan penawar bagi setiap penyakit untuk manusia berusaha mendapatkannya dan tidak boleh berserah semata-mata. akan tetapi, manusia terutama orang Islam hendaklah memilih perubatan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam, tidak kira perubatan moden mahupun tradisional. Oleh yang demikian, rujuklah orang yang berilmu pengetahuan dalam usaha mendapatkan rawatan. Kita perlu ingat, bukan kesembuhan sahaja yang kita perlu dapatkan apabila kita sakit, tetapi apa yang kita wajib dapatkan ialah kesembuhan beserta Redha Allah Taala.....renung-renungkan dan selamat beramal...

Biromatilllah wabarokaatihi.....wallahua'lam.....

Kata-Kata Aluan

Assalamulaikum warohmatullahi wabarokaatuh... Alhamdulillah, puji-pujian bagi Allah Taala, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah Nabi Muhammad S.A.W, penutup segala nabi, sahabat-sahabatnya, keluarganya, zuriatnya, para tabiin dan tabi' tabien yang solihin. Doa dipanjatkan juga ke atas guru-guru yang telah mengajarkanku segala ilmu dunia dan akhirat umumnya, khususnya yang telah mengajarkanku ilmu perubatan Islam melalui pengijazahan, pengisian, kursus-kursus dan bimbingan amalan, iaitu Guruku Al-Fathil Bapak Erry Ebriansyah bin Zikri Effendi Bin Syeikh Shihabuddin Pengasuh Ilmu Hikmah Mujarrob Dan Ilmu Nur Malaikat, Dr Md Keegan Anderson Abdullah Pengasas Tenaga Dalam Ilahi (TENDAI), Ustaz Sharhan Bin Shafie Pengasas Pusat Perubatan Islam Sinar Zamdurrani, Ustaz Khairul Syakirin Pengasas Pusat Perubatan Islam Darul Manzil, Ustaz Sabri Ibrahim Pengamal Perubatan Islam diTeluk Villa Sabah, tidak lupa kepada ibu dan ayahku, pendahwah-pendakwah dan  muslimin-muslimat yang dirahmati Allah....Amiin ya rabbal Aalamin